Episod 2: Di Rostock Aku Mencari Asimtot
Ahad, November 13, 2016 - Bingkisan dari iXoRa_sKRu pada 1:22 PG
Setelah aku berfikir panjang dan mendapat pandangan daripada kawan baikku. Aku mula menyusun ayat. Aku mulakan dengan pertanyaan.
"Have you cook for the dinner?"
"Yes, everything is ready. Just wait for you to come dinner with us"
Jawapannya meresahkan aku. Bagaimana ingin menolak?
"Hmmm... How could I go there? That is men's house. My father will angry with me if he know I go to men's house. But I really appreciate your invitation. Could you just insert the food in a container? We will meet at train station. You can give the food for me at that time."
"Of course I can. It's okay. I understand. I will give the food in the container to you."
Huhh.. rasa lega. Hilang satu masalah. Eh, tak lama lagi nak masuk pintu pelepasan. Kena pergi tandas siap-siap senang sebab nanti dah sampai Hamburg nak kalut kejar train pula. Aku masuk ke tandas. Tetiba perut rasa ingin membuang hajat, teruskan saja niat ku. Keluar saja daripada tandas, aku lihat di skrin menunjukkan pintu pelepasan dah dibuka. Hanya tinggal 15 minit saja lagi sebelum pintu ditutup. Laa... dia buka setengah jam je ke? Aku berlari mencari arah. Alhamdulillah, sempat juga aku naik penerbangan tersebut.
Sesampai sahaja aku di Hamburg Airport, aku mencari kedai menjual air mineral kerana aku dahaga dan aku ingin pecahkan duit. Tapi harganya terlampau tinggi berbanding harga air mineral yang aku beli di London. Pada pemikiran ku mungkin di bahagian luar harganya lebih murah. Aku jalan terus ke depan sehingga sampai ke bahagian pungutan beg. Masih ramai yang menunggu. Aku solat dulu disitu sementara menunggu beg. Setelah solat, aku mencari troli untuk membawa barang. Malangnya troli tersebut memerlukan 1euro atau 0.5euro sebagai cagaran untuk melepaskan kunci. Aku tiada duit kecil. Kedai menjual air mineral tadi sudah terlalu jauh. Tu la... benda yang depan mata tadi tak nak ambil, nak juga kejar benda yang tak pasti. Nak tak nak aku kena pandailah susun beg.
Setelah mendapat beg, aku bergegas mencari kedai menjual sim. Aku perlu mendapat internet secepat mungkin untuk hubungi keluarga. Nasib baik, pekedai pandai cakap english. Dia menawarkan simkad internet yang agak mahal. Katanya coverage bagus dan mudah cari kedai topup. Aku ambil saja kerana tengah terdesak. Siap dia settingkan, aku terus berlalu pergi mencari train pertama. Mengikut perancangan aku, aku perlu menaiki train, kemudian bas dan seterusnya lagi dua lagi train. Empat semuanya sebelum aku sampai tempat aku menginap. Nampak tak? Betapa mencabarnya perjalanan aku.
Semasa aku berada di dalam train pertama, ada seorang pakcik bertanya kemana mahu aku pergi. Aku pun cakaplah aku nak pergi Rostock. Aku nak berhenti disini dan menaiki bas ke Hamburg Hbf. Pakcik tu kata, tak perlu naik bas nanti dia tolong tunjukkan jalan macam mana nak naik train pergi ke tempat itu. Turun daripada train pertama, pakcik tersebut menghantar aku betul-betul di hadapan landasan train ke 2 sebelum meninggalkan aku sendiri. Aku menunggu train ke 2 bersama penumpang yang lain. Tapi aku tak punya tiket. Tadi aku hanya beli tiket untuk train pertama sahaja. Mana aku nak cari mesin beli tiket. Aku lihat di sekitar, tiada nampak mesin tiket. Aku ingin pergi mencari mesin tiket, takut aku tersesat. Hentam sajalah naik train tanpa tiket. Harap tak tertangkap.
Apabila train sampai aku terus masuk. Train agak padat aku hanya mampu berdiri bersama barang-barang aku. Aku lihat papan perjalanan tiada tulis Hamburg Hbf. Habislah... Aku agak cuak takut tersalah train. Aku tenangkan diri. Dipapan tersebut ada tertulis Central. Mungkin itu Hamburg Hbf, pusat pengangkutan awam sama seperti KLSentral. Alhamdulillah tepat tekaan aku. Sampai sahaja di Hamburg Hbf aku terus meluru ke mesin tiket. Aku tidak mahu kesalahan sama berulang. Aku beli tiket terus untuk ke stesen train ke 4.
Aku melilau di sekitar Hamburg Hbf mencari tempat pelepasan train ke 3. Setelah beberapa lama mencari, akhirnya aku ternampak tempatnya. Jauh nun dibawah. Aku tidak dapat melihat sebarang lift atau tangga bergerak. Yang ada hanyalah sebuah tangga yang sangat tinggi untuk dituruni bersama 2 biji beg yang besar dan berat. Ya Allah, kuatkan aku. Aku membawa turun beg yang lebih kecil dan ringan dulu. Beg besar aku tinggalkan di atas. Kemudian baru aku membawa turun perlahan lahan beg besar tersebut. Alhamdulillah, sekali lagi bantuan Allah datang. Ada sorang mat saleh menawarkan untuk membantu aku membawa turun beg tersebut.
Sampai saja dibawah aku lihat train telah sedia menunggu. Aku yang awalnya ingin membeli air terlebih dahulu membatalkan niat tersebut. Aku terus masuk ke dalam train dan mencari tempat yang sesuai. Aku memilih untuk duduk di kawasan yang agak lapang dan sunyi di hadapan tandas. Lambat pula train ini bergerak. Kalau tahu aku beli air dulu. Sesal kemudian tidak berguna. Train ke 4 ini akan membawa aku dari Hamburg ke Rostock. Perjalaan yang agak jauh mengambil masa lebih 3 jam. Melalui ladang dan kincir angin diiringi hujan dan pelangi mengindahkan lagi suasana perjalanan.
Line internet hanya ada semasa kereta api hampir dengan setiap hentiannya. Sepanjang perjalanan aku hanya melihat pemandangan dan bermain whatsapp. Sehinggalah aku sampai ke destinasi yang ingin aku tuju iaitu Rostock Hbf. Sesampai sahaja disana, aku keluar daripada train bersama beg dan terus membuka handphone untuk memaklumkan kepada senior aku dah sampai Rostock.Tetiba kedengaran orang memberi salam.
"Assalamualaikum"
"Sendirian jalani hidup dibumi asing. Hanya padaMu aku bergantung harap."