Episod 1: Di Rostock Aku Mencari Asimtot
Sabtu, November 12, 2016 - Bingkisan dari iXoRa_sKRu pada 1:05 PG
Urggghhh...aku menggeliat, lenguh. Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Sudah lebih 3 jam aku duduk dalam pesawat ini patut la lenguh. Ini bermakna aku sudah meninggalkan Malaysia 3 jam yang lepas. Buka video la tengok cerita lagi bagus. Aku menekan skrin di hadapan ku. Eh... ada 'Flight Info'. Aku memilih untuk melihat maklumat penerbangan. Aku sudah hampir keluar daripada benua Asia. Tetiba benakku terfikir, hatiku terusik. Betulkah pilihan yang aku buat ni? Rasa ingin saja aku pergi ke bahagian juruterbang dan mengarahkannya membawa aku pulang ke Malaysia. Ohh.. Malaysia tanah airku yang tercinta.
Mengimbau kembali apa yang telah berlaku. Aku pergi dengan kerelaan dalam keterpaksaan. Ini keputusan paling besar pernah aku buat dalam hidup aku. Aku buat keputusan ini untuk menjaga hati banyak pihak tapi bukan semata-mata kerana itu. Aku ada misi-misi aku sendiri untuk aku laksanakan disana nanti. Sebelum ini, tidak pernah terlintas dibenakku untuk belajar di luar negara. Aku tak pernah kagum dengan mana-mana insan yang menyambung pengajian di luar negara kerana bagi aku, kelulusan dalam negara juga sama hebat dan setanding. Ya, ini salah satu misi aku. Untuk bukti pemegang ijazah daripada Malaysia tidak kurang hebatnya asalkan rajin berusaha. Aku mahu tengok sejauh mana hebatnya pendidikan luar negara yang orang kagumkan sangat.
Tetapi keputusan ini paling gila. Kenapa aku kata gila? Sebab aku pergi tanpa persediaan yang baik. Aku masih belum mempunyai kontrak rumah kerana sibuk menyelesaikan kerja sebelum meninggalkan Malaysia. Aku hanya menyewa sebulan melalui Airbnb. Aku juga tidak tahu berbahasa Jerman. Apa yang aku dengar, orang Jerman tak pandai cakap bahasa inggeris dan ada yang anti dengan orang yang cakap inggeris. Sudahlah tidak tahu berbahasa Jerman, bahasa inggeris aku juga tunggang langgang. Tak banyak perkataan yang aku tahu. Macam mana aku nak berkomunikasi nanti? Itu baru bab komunikasi. Belum bab lain lagi. Tempat yang aku nak pergi ni, dalam survey aku tak jumpa pun orang Malaysia yang tinggal disitu. Kemungkinan besar tak ada. Ini baru mencabar. Aku sendiri yang masukkan diri aku ke kandang harimau. Pandai-pandailah aku nak hadap.
Kapal terbang terus meluncur laju merentas masuk ke benua Eropah. Sambil melayan cerita melayu di skrin hadapanku, aku dihidangkan nasi lemak sebagai sarapan pagi. Oh... bahagianya dapat makan nasi lemak di bumi eropah. Apabila sudah nak masuk waktu subuh, aku bersedia spray wuduk. Aku serba salah, mahu solat dalam kapal terbang ataupun di lapangan terbang. Kedengaran pengumuman daripada Juruterbang, kapal terbang akan mendarat di London sebentar lagi. Ok lah... solat di lapangan terbang. Sampai saja cari tempat yang sesuai dan terus solat.
Lepas solat baru aku cari jalan keluar untuk penerbangan seterusnya dari London ke Hamburg. Sampai di Gate 5 untuk pergi ke terminal 5, perlu menaiki bas. Aku tunggu disitu dan aku lihat ada 2 orang lelaki menunggu bersama ku. Tapi bukan orang Malaysia walaupun aku agak mereka sama penerbangan dengan ku tadi. Apabila bas sampai aku terus naik bas dan rasa lebih selamat kerana tempat tadi agak sunyi. Setibanya di terminal 5 aku mencari kedai menjual air kerana agak dahaga. Maklumlah dalam kapal terbang mana minum banyak air. Setelah mendapatkan air aku mencari tempat lepak yang sesuai. Aku perlu cari wifi percuma untuk menghubungi keluarga aku dengan segera. Dah dapat wifi aku lepak la disitu hubungi keluarga dan rakan-rakan menggunakan whatsapp. Nasib baik wifi dia tak ada limit masa.
Tiba-tiba aku mendapat mesej whatsapp daripada senior aku. Senior? Ya, senior tempat yang aku bakal belajar ni. Macam mana kenal? Aku cari menerusi Facebook. Facebook kan banyak jadi penghubung. Sekarang ni dunia tanpa sempadan. Dia seorang pelajar yang berasal daripada India dan seorang Muslim. Daripada dia aku mendapat banyak maklumat berkenaan pengajian dan makanan halal di Rostock. Dia banyak membantu dan sangat baik. Apa isi mesejnya? Ohhh... dia jemput aku makan malam di rumahnya. Tapi di rumahnya tiada perempuan. Hanya dia dan kawan baiknya dari Palestine. Mana mungkin aku dapat pergi ke rumah lelaki seorang diri di malam hari. Itu mencari nahas namanya walaupun aku tahu dia seorang yang baik dan beriman. Hmm... bagaimana aku ingin menolak jemputannya dengan cara yang baik tanpa mengguris perasaannya?
"Sendirian jalani hidup dibumi asing. Hanya padaMu aku bergantung harap."