Layakkah Aku??? (Siri 1)
Isnin, Januari 25, 2010 - Bingkisan dari iXoRa_sKRu pada 9:03 PG
“ Hidup ini bagaikan sebuah perlayaran mencari harta karun. Perlu mengharungi segala jenis ombak yang mendatang. Kadang-kadang kita terjumpa lubuk ikan di tengah laut. Mungkin itu perangkap samar untuk kita. Namun, tanpa kita sedari kita terus leka menangkap ikan tersebut sehingga kita lupa akan tujuan asal pelayaran ini.”
Siri 1
Layakkah aku? Persoalan itu terus timbul di benakku. Sudah seminggu aku berada disini. Minggu orientasi pun sudah sampai ke penghujungnya. Esok kuliah pertama ku akan bermula. Dengan itu bermulalah kehidupan aku sebagai seorang mahasiswi. Aku rasa semua ini bagaikan mimpi. Namun hakikatnya ini adalah realiti yang bakal ku lalui. Macam baru semalam aku mendaftar masuk ke matrikulasi. Teringat aku akan kenangan ku disana.
Aku berasal dari sebuah keluarga yang miskin di kawasan yang agak terpencil. Walaupun hidup kami serba kekurangan dari segi kewangan, tapi kami bahagia dengan kehidupan kami. Aku bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang amat penyayang. Aku adalah anak bongsu dari 3 beradik. Aku memang agak manja berbanding adik beradik lain. Biasalah anak bongsu kan.. Aku adalah harapan keluargaku. Kerana aku seorang sahaja dalam keluargaku yang mampu menjejak kaki ke menara gading. Aku bukanlah seorang pelajar yang rajin. Hanya nasib menyebelahi diriku. Akan ku pegang amanah ini, untuk mengubah taraf hidup keluargaku.
Mengimbau kembali kenangan di matrikulasi. Aku punya seorang roommate yang cukup prihatin terhadapku. Disaat aku memerlukan, dia datang membantuku. Semasa aku homesick. Rindu akan kampung halaman kerana aku belum pernah berpisah lama dengan keluarga ku sebelum aku masuk matrikulasi. Dia cuba menceriakan kehidupanku. Dia membimbingku supaya aku lebih kuat menghadapi segala dugaan hidup. Dia mengajakku mendekatkan diri pada Maha Pencipta ketika diri rasa keseorangan. Aku masih ingat lagi kata-katanya.
“Masalah jangan dipendam dalam diri. Nanti ia memakan diri. Jangan juga diluahkan segalanya pada manusia kerana mungkin ia akan diguna untuk memburukkan kita. Jika diluahkan dalam diari, diari tak dapat bantu kita. Luahkan rasa hati kita pada tuhan. Sesungguhnya dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dia akan membantu hambanya yang meminta pertolongan dariNya.”
Dialah sahabat sejati ku. Mengajak aku ke masjid. Di masjid, hati ku rasa sangat tenang. Segala masalah dapat aku lupakan sekelip mata. Aku menjadi lebih matang untuk meneruskan kehidupan ini. Akan ku kenang jasanya sampai bila-bila. Aku sebenarnya bukanlah sahabat yang baik. Aku selalu mementingkan diriku sendiri. Layakkah aku menjadi sahabatnya? Namun aku cuba menjadi sahabat yang terbaik.
Setelah tamat matrikulasi, aku mendapat keputusan yang cemerlang. Aku ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam kursus pilihan pertamaku di universiti yang ku idamkan selama ini. Alhamdulillah, aku syukur kehadrat Illahi. Tapi layakkah aku sebenarnya mendapat semua ini? Padahal usaha aku cuma sedikit. Namun aku percaya jika Allah kehendaki sesuatu maka jadilah ia.
“Mira, termenung panjang nampak. Ingatkan pak we kat kampung ker?” Tegur roomateku yang baru.
“Hish.. Kak Amy ni. Saya teringat kenangan kat matrik la. Rasa cam baru lagi” balasku.
Kak Amy adalah roomateku yang baru. Dia sudah berada di Tahun 2 pengajian. Mungkin dia dapat membantuku meneruskan hidup sebagai seorang mahasiswi di sini. Aku berharap sangat dia boleh jadi macam roommate aku yang dulu. Maz aku rindukan kau. Mampukah aku hidup jauh dari keluarga tanpa dirimu disisi…
Bersambung...
“Jangan tertipu dengan ilusi maya di lautan fantasi. Jika tiang layar kita patah di tengah pelayaran, kita perbaiki dan kuatkan ia. Jadikan pengalaman sebagai kompas untuk kita mencari harta karun. Yang penting, jangan lupa harta karun adalah impian kita.”